Apa itu sekufu?
Sekufu ialah persamaan di antara calon suami dan isteri daripada beberapa sudut:
1. Beragama dan baik. Maksudnya lelaki fasik tidak sekufu dengan perempuan solehah.
Dalam masalah ini, syara’ menganjurkan supaya mencari pasangan yang sekufu dari sudut beragama dan baik akhlak budi bicara.
“Bagaimana pula seseorang menikah karena mau berdakwah dan mendidik pasangannya?”
Sekiranya seorang lelaki yang kuat agama, alim dan tsiqah perilakunya mau menjadikan seorang perempuan yang sedikit ilmu agamanya bertujuan untuk mendidik. Sekiranya tidak menjadi kesalahan besar. Alhamdulillah jikalau itu matlamat dan niatnya.
Tetapi seandainya perempuan yang baik dan beriman mau berkahwin dengan lelaki fasik atas dasar karena mau mendidik lelaki itu. Adalah tidak digalakkan.
“Kenapa?” Muncul persoalan.
“Bukankah lelaki itu pemimpin wanita? Wanita itu sifatnya lemah lembut? Coba lihat sejauh mana seorang perempuan mampu mengubah seorang lelaki dengan sifat keegoannya yang tinggi? Mampukah?…”
“Saya bimbang perempuan yang solehah pada asalnya, solat menjadi tiang hidupnya, puasa menjadi makanan jiwanya, Quran menjadi penawar hatinya, hijab menjadi pakaiannya akan lenyap, terkikis lalu tenggelam ditengah-tengah perilaku si suami fasik..”
Saya kurang setuju dan syara’ juga mengambil kira hal ini.
Imam Ghazali pernah membicarakan mengenai faedah bernikah antaranya ialah petunjuk dan satu pengislahan jalan beragama.
Sekiranya berkahwin dengan seorang lelaki fasik menambahkan kefasikan, bagaimana mahu mendapat petunjuk melalui agama Islam dan beroleh barakah?
Sabda Baginda Rasulullah SAW:
Daripada Abi Hatim Al-Muzanni katanya, telah bersabda Rasulullah SAW:
“Apabila datang akan sekalian kamu orang yang kamu sukai agamanya dan perangainya maka nikahkanlah olehmu akan dia jika tidak lakukan nescaya jadi fitnah dibumi dan kebinasaan,” kata mereka itu: “Ya Rasulullah dan jika ada padanya sekalipun?”
Sabda Rasulullah SAW:
“Apabila datang akan sekalian kamu orang yang kamu sekalian sukai agamanya dan perangainya maka nikahkan akan dia, tiga kali.”
2. Pekerjaan. Lelaki yang mempunyai kerja yang rendah seperti tukang sapu, tukang kebun, pencuci tandas tentulah tidak setaraf dengan anak perempuan Mufti, lelaki alim, Qadi dan tokoh korporat.
“Kalau begitu, nampak seperti wujud kasta dan darjat keturunan?”
Perlu difahami, bukanlah sekufu itu mahu membezakan darjat dan keturunan seseorang sehingga menganggap pekerjaan sedemikan rupa sebagai suatu pekerjaan yang hina dina. Akan tetapi sekufu adalah bertujuan memberi kelebihan dan kebebasan pihak wanita dan wali untuk memilih bakal menantunya.
Sudah tentu wali mahu melihat pilihan jodoh anak perempuannya adalah yang terbaik.
3. Tidak mempunyai kecacatan yang boleh menyebabkan berlakunya fasakh dalam perkahwinan.
Contoh lelaki yang mempunyai penyakit Aids HIV, gila, sakit kusta atau sopak sudah tentu tidak sama ataupun setaraf dengan perempuan yang sihat.
Selain mendapat malu, dibimbangi juga akan berlaku kemudharatan kepada wanita bilamana berkahwin dengan lelaki berpenyakit sebegitu.
Adakah sekufu antara syarat wajib?
Tidak, cuma dalam masalah sekufu ianya merupakan hak seorang perempuan dan hak walinya.
Sekufu bukanlah antara syarat sah perkahwinan, ia hanya sebagai langkah mengelakkan wanita dan walinya menanggung malu ataupun berlaku kekeruhan rumah tangga kelak. Di antara tujuan sekufu ialah supaya pihak wanita tidak perlu mengubah kebiasaan hidup mereka.
Nabi Muhammad SAW meraikan hak sekufu sebagaimana sabda baginda dalam sebuah hadis bermaksud:
“Pilihlah bagi permata-permata kamu (anak-anak perempuan kamu) dan kahwinkanlah dengan yang sekufu dan kahwinkanlah mereka kepadanya.”
(Riwayat Hakim: 2/163 Beliau mensahihkannya)
Oleh kerana ianya bukan menjadi syarat sah perkahwinan, maka pihak wanita dan wali boleh saja menggugurkan syarat ini mengikut pandangan sendiri. Dengan kata lain, sekiranya wanita dan pihak wali meredhai lelaki yang bakal berkahwin tanpa melihat syarat sekufu maka nikahnya adalah sah.
Wallahhua’lam.
Rujukan:
Muhadharat fi Fiqh As-Sadah As-Syafi’eyyah, Doktor Khalifah Abdul Basit Shahain, Kuliah Tahun 3, Universiti Al-Azhar, Tanta.
Fiqh Al-Manhaji, Oleh Dr.Mustofa Al-Khin, Dr.Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji.
Bahrul Mazi Syarah Mukhtasor Sohih At-Turmuzi, Syeikh Muhammad Idris Abdul Rauf Al-Marbawi Al-Azhari.
Sumber : http://faridrashidi.com